Daftar Masuk

   ID Pengguna:image for important messageMakluman Penting
   

   Kata Laluan:
   

   
Daftar Masuk

   Pendaftaran Baru
   Lupa Kata Laluan


Pautan Aplikasi
Perkhidmatan Mywanita
Pautan ke Ibu Tunggal
Pautan ke Kepekaan Gender
Pautan ke Perkhidmatan Usahawan
Pautan ke NGO atau Pembekal Perkhidmatan
Pautan ke Kaunseling
Pautan ke Latihan Berasaskan Komputer



 
Ucapan Sempena Hari Wanita

Dengar teks ini

UCAPAN
YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN HARI WANITA KEBANGSAAN

DI SUNWAY CONVENTION CENTRE
2 OKTOBER 

Hadirin yang dihormati sekalian.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
 
1.           Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya kita dapat berhimpun pada hari ini bagi meraikan Hari Wanita Kebangsaan 2012.
 
Sambutan Hari Wanita Kebangsaan

2.           Sambutan Hari Wanita Kebangsaan diadakan setiap tahun semenjak 1962 bertujuan sebagai pengiktirafan kepada sumbangan, pengorbanan dan penglibatan golongan wanita kepada pembangunan negara. Tahun 2012 merupakan tahun yang signifikan memandangkan sambutan kali ini adalah sambutan yang ke-50.
 
3.           Kerajaan melihat golongan wanita sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara memandangkan mereka mewakili 49.1% daripada jumlah penduduk Malaysia. Ini bermakna wanita adalah aset yang amat bernilai. Peranan wanita amat penting di pelbagai lapisan masyarakat sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kemakmuran negara.
 
4.           Pada pagi yang mulia ini, saya amat gembira melihat kehadiran tokoh dan pemimpin wanita yang telah sekian lama menyumbang tenaga dan bakti kepada negara. Sesungguhnya, kehadiran tokoh dan pemimpin wanita sanjungan negara ini menjadi pembakar semangat kepada kita semua,  khususnya generasi baru, untuk terus melakar kejayaan dalam memajukan golongan wanita di negara ini.
 
5.           Kepada golongan wanita muda, saya ingin menyeru supaya anda untuk meneruskan sumbangan dan kecemerlangan golongan wanita dalam dunia globalisasi tanpa sempadan yang kompetitif dan serba mencabar. Kerajaan akan sentiasa memberi sokongan sepenuhnya kepada anda menerusi pelbagai dasar, perundangan, program serta prasarana yang bersesuaian bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif.
 
6.           Menyedari kepentingan wanita kepada negara, Kerajaan tidak teragak-agak mengambil inisiatif untuk meminda Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2001 bagi memastikan tiada diskriminasi berasaskan gender. Sebagai makluman, pindaan kepada Perlembagaan bukanlah sesuatu yang kerap kali dilakukan oleh Kerajaan melainkan pindaan tersebut memberikan impak positif kepada masyarakat, dalam hal ini kepada wanita.
 
Hadirin yang dihormati,
 
Wanita Penggerak Ekonomi

7.           Dunia bakal menyaksikan wanita sebagai satu pasaran yang akan berkembang di peringkat global. Justeru, tema Hari Wanita Kebangsaan pada tahun ini iaitu “Wanita Pencetus Ekonomi Baru” adalah bertepatan pada masanya.
 
8.           Kajian bertajuk High Achievers: Recognising the Power of Women to Spur Business and Economic Growth oleh Ernst & Young mengunjurkan pendapatan wanita secara global bakal berkembang daripada USD13 trilion kepada USD18 trilion dalam masa 5 tahun akan datang. Peningkatan USD 5 trilion ini adalah dua kali ganda pembangunan Keluaran Dalam Negeri Kasar yang disasarkan bagi negara China dan India digabungkan bersama.
 
Bajet 2013

9.           Mengambil kira perkembangan tersebut, sesungguhnya Bajet 2013 yang saya umumkan di Parlimen pada hari Jumaat yang lepas jelas ternyata adalah bajet yang mesra wanita. Bajet ini dirangka untuk melonjakkan sumbangan wanita melalui program pengupayaan ekonomi. Dalam hal ini, peruntukan sebanyak RM50 juta disediakan untuk melaksanakan program antara lainnya, Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-Kit) dan Get Malaysian Business Online.
 
10.       Untuk makluman hadirin, sejak diperkenalkan pada tahun 2008, program I-Kit telah memberikan manfaat kepada 2,777 golongan ibu tunggal. Pendapatan tambahan yang dijana melalui program ini, ternyata dapat membantu meningkatkan kualiti hidup golongan tersebut.
 
11.       Di samping itu, Bajet 2013 turut memperuntukkan sejumlah RM400 juta bagi program 1AZAM yang bertujuan menyediakan peluang menjana pendapatan kepada golongan berpendapatan rendah. Program ini berteraskan konsep productive welfare dijangka memanfaatkan seramai 58,330 orang peserta yang sebahagian besarnya adalah wanita. Dengan ini, mereka dapat menjalani hidup secara berdikari menerusi ruang dan peluang yang disediakan. Apa yang memberangsangkan bagi program ini yang telah bermula pada tahun 2010, seramai 64,191 atau 71% daripada sejumlah 90,403 orang peserta adalah wanita.
 
12.       Kerajaan sentiasa menitikberatkan kesejahteraan wanita sebagai tonggak kebahagiaan keluarga. Sebagai Kerajaan yang prihatin, sebanyak RM25 juta disediakan bagi meneruskan Program Subsidi Ujian Mamogram. Adalah dianggarkan seramai 100,000 orang wanita yang berumur antara 40 hingga 70 tahun dijangka mendapat faedah daripada program ini. Semenjak Program Subsidi Ujian Mamogram dilaksanakan mulai bulan Mei 2007, seramai 100,357 orang wanita telah menjalani ujian mamogram ini.

13.       Sesungguhnya Kerajaan turut menyelami keperitan dan kesengsaraan hidup yangdialami oleh golongan miskin dan mereka yang memerlukan. Sehubungan itu, Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KARISMA di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terus diperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion pada tahun 2013.
 
14.        Sebagai makluman, pada tahun 2011, seramai hampir 474,000 orang telah menerima bantuan kebajikan di bawah KARISMA. Daripada jumlah penerima bantuan tersebut, 55.8% adalah wanita. Golongan ibu tunggal juga merupakan sebahagian daripada penerima tersebut. Dalam hal ini, ingin saya nyatakan seramai 98,848 orang ibu tunggal telah menerima Bantuan Kanak-kanak pada tahun 2011, melibatkan peruntukan sebanyak RM315.75 juta. Bagi Bantuan Orang Tua pula, sebanyak RM485.25 juta telah disalurkan pada tahun 2011, yang mana seramai 76,588 orang atau 56.6% daripada 135,217 orang penerima adalah wanita.
 
15.       Satu lagi elemen mesra wanita yang diberi perhatian dalam Bajet 2013 ialah berhubung penjagaan kanak-kanak, khususnya bagi membantu keluarga dwi-kerjaya. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, 3 insentif baru diperkenalkan bagi menggalakkan penubuhan lebih banyak taska, sekaligus menangani isu penjagaan anak yang dihadapi oleh wanita bekerja. Insentif yang diperkenalkan ialah Geran Pelancaran RM10 ribu kepada penyedia Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak swasta untuk membuka taska baru yang berkualiti; potongan cukai 2 kali ke atas elaun atau subsidi yang diberi kepada pekerja atau penyelenggaraan kemudahan taska dan pusat jagaan kanak-kanak; dan pengecualian cukai pendapatan untuk tempoh 5 tahun serta elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun. Semua insentif ini membuktikan bahawa kesediaan kerajaan mendengar keluhan dan memahami cabaran yang dihadapi oleh masyarakat.
 
Hadirin yang dikasihi,
 
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Wanita

16.       Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita di atas kegigihan dan komitmen mereka dalam melaksanakan program di peringkat akar umbi. Usaha NGO ini telah banyak membantu kementerian melaksanakan program-program pemerkasaan dan pengupayaan wanita.
 
17.       Sebagai makluman, pada tahun 2001 hingga Mei 2012, sejumlah RM42 juta telah diperuntukkan di bawah Bantuan Khas Perbendaharaan, melibatkan 807 NGO bagi melaksanakan program pembangunan wanita berasaskan bidang-bidang keutamaan seperti literasi undang-undang, latihan dan peningkatan kemahiran, kepekaan gender, teknologi maklumat dan komunikasi serta pengurusan emosi.
 
 
Usahawan Wanita dengan Kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)

18.       Satu lagi perkara yang ingin saya sentuh yang mempunyai kaitan dengan tema Hari Wanita Kebangsaan tahun ini ialah program kerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi melahirkan 4,000 usahawan wanita pada penghujung tahun 2012. Program ini telah berjalan lancar dan sehingga bulan Jun 2012, program ini telah melahirkan 3,500 orang usahawan wanita yang berjaya menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan bagi tempoh 3 bulan berturut-turut. Saya yakin pihak AIM mampu mencapai sasaran yang ditetapkan pada penghujung tahun ini.
 
 
Program Pengarah Wanita

19.       Semenjak pengumuman saya mengenai Dasar Sekurang-kurangnya 30% Wanita Di Peringkat Pembuat Keputusan Dalam Sektor Korporat, Program Pengarah Wanita telah diwujudkan. Program ini dirangka bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran kritikal calon wanita yang berpotensi tinggi untuk melaksanakan peranan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat menerusi kaedah latihan yang berstruktur yang mengambil kira kemahiran teknikal dan soft skills.
 
20.       Perkongsian pintar antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan Malaysian Directors’ Academy (MINDA) telah mensasarkan untuk melatih 200 orang wanita yang berwibawa, kompeten dan berpengalaman supaya mereka dapat diketengahkan sebagai calon ahli lembaga pengarah syarikat menjelang penghujung tahun 2012. Program ini akan diteruskan pada tahun 2013 dengan sasaran seramai 500 orang wanita lagi. Saya menyeru wanita yang memenuhi kriteria yang ditetapkan tampil ke hadapan untuk merebut peluang keemasan ini bagi merealisasikan aspirasi kerajaan untuk menambah bilangan wanita yang menduduki kerusi ahli lembaga pengarah syarikat.
 
Hadirin yang dihormati,
 
Potongan Cukai Berganda

21.       Semasa minggu InvestKL pada bulan Mei 2012, saya telah mengumumkan insentif potongan cukai berganda diberikan ke atas perbelanjaan bagi melatih wanita kembali ke pasaran pekerjaan oleh syarikat swasta mulai tahun taksiran 2013. Pengumuman ini adalah manifestasi komitmen Kerajaan untuk menarik lebih ramai wanita kembali ke pasaran pekerjaan, sekaligus sebagai usaha kerajaan mencapai sasaran 55% penyertaan wanita di pasaran pekerjaan pada tahun 2015. Saya berharap syarikat swasta dapat menghubungi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menyelaraskan usaha mendapatkan calon yang bersesuaian bagi mengisi kekosongan jawatan di organisasi mereka.
 
PENUTUP

22.       Sesungguhnya wanita persis mutiara, semakin digilap semakin bersinar cahayanya. Justeru, wanita sebagai aset yang begitu tinggi nilainya perlu terus menyerlah. Saya penuh yakin wanita akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan negara. Tema Wanita Pencetus Ekonomi Baru sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012 membawa mesej yang jelas bahawa perjuangan memartabatkan peranan wanita di negara ini adalah sebahagian daripada inisiatif ke arah pengwujudan masyarakat yang progresif dan inklusif.
 
23.       Dengan lafaz Bismillahirrahmanirahim saya dengan ini merasmikan Hari Wanita Kebangsaan 2012.
 
Sekian. Wabillahhitaufik, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.