Daftar Masuk

   ID Pengguna:image for important messageMakluman Penting
   

   Kata Laluan:
   

   
Daftar Masuk

   Pendaftaran Baru
   Lupa Kata Laluan


Pautan Aplikasi
Perkhidmatan Mywanita
Pautan ke Ibu Tunggal
Pautan ke Kepekaan Gender
Pautan ke Perkhidmatan Usahawan
Pautan ke NGO atau Pembekal Perkhidmatan
Pautan ke Kaunseling
Pautan ke Latihan Berasaskan Komputer



 
Ucapan Sempena Seminar Anti Jenayah: Respek Wanita

Dengar teks ini

UCAPAN PERASMIAN
 
YB DATUK  ROHANI  ABDUL KARIM
MENTERI
PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT
 
 
SEMINAR WANITA ANTI JENAYAH: RESPEK WANITA
 
ANJURAN BERSAMA
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT
DAN
POLIS DIRAJA MALAYSIA
 
DI
DEWAN AUDITORIUM PUSAT LATIHAN PENGAJAR DAN KEMAHIRAN LANJUTAN (CIAST)
SHAH ALAM SELANGOR

 

Assalamualaikum w.b.t, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
 
1.          Terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurniaNya, kita berpeluang untuk bersama-sama berkumpul di dalam Majlis Perasmian Seminar Wanita Anti Jenayah yang bertemakan RESPEK WANITA.
 
2.          Bagi pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua kerana sudi hadir ke seminar ini yang merupakan kick-off kepada 14 program seumpamanya yang akan dilaksanakan di setiap negeri pada tarikh-tarikh yang telah pun ditetapkan.
 
 
Tema RESPEK WANITA
 
Hadirin yang dikasihi,
 
3.          Wanita adalah aset Negara yang penting kerana dengan populasi wanita iaitu 14.4 juta atau 48.6% daripada populasi keseluruhan rakyat Malaysia, wanita turut sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi keluarga dan seterusnya pembangunan  negara. Wanita merupakan insan yang istimewa yang diciptakan Allah untuk dilindungi, disayangi dan dihormati dan bukan untuk diperlakukan dengan ganas, disakiti dan dihina.
 
4.          Kita sebagai ibu bapa sering kali berpesan kepada anak perempuan kita agar menjaga diri daripada menjadi mangsa keganasan tetapi kita juga perlu mendidik anak lelaki supaya menyayangi, melindungi dan menghormati kaum wanita, termasuk hak-hak mereka seperti mana mereka menyayangi ibu, kakak, adik dan saudara perempuan mereka sendiri.
 
5.          Tema Respek Wanita dipilih sempena sambutan Hari Ibu yang diraikan pada 12 Mei 2013 yang lalu sebagai pengiktirafan dan penghormatan kepada semua wanita khususnya ibu di atas jasa dan pengorbanan serta ketabahan dalam mengurus keluarga, mendidik dan membesarkan anak-anak di samping menyumbang kepada pembangunan negara.Acara Sambutan Hari Ibu yang telah dilaksanakan juga sebagai menghargai jasa dan pengorbanan ibu serta  ketabahan dalam menguruskan keluarga, mendidik dan membesarkan anak-anak di samping turut menyumbang kepada pembangunan negara.
 
6.          Saya berharap seminar ini dapat memberi kesedaran kepada kaum lelaki agar menyayangi, menghormati dan menghargai wanita. Saya juga berharap seminar ini juga memberi pengetahuan dan pendedahan mengenai isu-isu membendung dan menangani keganasan terhadap wanita.
 
Komitmen Antarabangsa dan Inisiatif Negara Dalam Menghapuskan Keganasan Terhadap Wanita
 
Hadirin yang dikasihi,
 
7.          Kerajaan amat prihatin dan memandang serius akan kes-kes keganasan yang berlaku ke atas wanita. Memandangkan Malaysia merupakan negara pihak kepada Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), maka adalah menjadi komitmen negara untuk memastikan kesejahteraan wanita dipelihara selaras dengan piawaian peringkat antarabangsa.
 
8.          Komitmen ini diterjemahkan dalam bentuk dasar dan perundangan yang digubal atau dipinda serta program-program yang diadakan untuk memastikan apa jua usaha untuk menangani sebarang bentuk keganasan terhadap wanita dilakukan secara holistik.
 
9.          Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita yang digubal adalah bagi memastikan pemerkasaan wanita dipergiatkan dan menjadi agenda setiap rakyat Malaysia.
 
10.      Bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan wanita, kerajaan  telah membuat beberapa pindaan ke atas Akta-akta yang berkaitan seperti Akta Keganasan Rumah tangga iaitu meluaskan takrifan keganasan rumah tangga dengan memasukkan elemen penderaan psikologi dan kecederaan emosi sebagai salah satu bentuk keganasan yang sebelum ini hanya menekankan aspek penderaan berbentuk fizikal dan seksual. Pindaan juga telah dibuat ke atas Kanun Keseksaan yang memberikan definisi yang lebih luas bagi kes-kes yang melibatkan jenayah rogol. Hukuman yang dikenakan ke atas seseorang yang disabitkan bersalah dengan kes rogol juga telah diselaraskan mengikut jenis jenayah rogol yang dilakukan.
 
11.      Pada tahun 2001 pindaan ke atas Kanun Keseksaan telah dibuat dengan memasukkan hukuman berhubung kes sumbang mahram dimana hukuman penjara adalah tidak kurang dari 6 tahun dan tidak melebihi 20 tahun. Pesalah sumbang mahram juga boleh dikenakan hukuman sebat sekiranya disabitkan kesalahan.
 
12.      Selain itu, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 pula digubal bagi melindungi mangsa pemerdagangan orang dan penyeludupan migran yang sebahagian besarnya merupakan golongan wanita. KPWKM selaku pengerusi jawatankuasa perlindungan dan pemulihan mangsa di bawah Majlis Anti pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) bertanggungjawab memastikan kebajikan mangsa sepanjang tempoh mangsa berada di bawah arahan perlindungan mahkamah dipelihara sebelum dihantar pulang ke tempat asal. Semenjak tahun 2008 hingga kini, seramai 1,085 orang mangsa wanita telah diberi penjagaan, perlindungan dan kaunseling di rumah perlindungan KPWKM.
 
Inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS)
 
Hadirin yang dihormati,
 
13.      Usaha untuk membendung dan mengurangkan keganasan terhadap wanita tidak boleh dilihat sebagai satu tindakan yang dipertanggungjawabkan kepada KPWKM semata-mata. Untuk memastikan kadar jenayah terhadap wanita berkurangan, ia memerlukan kerjasama bersepadu yang mantap dan sistematik dengan melibatkan agensi-agensi yang berkaitan. YAB Perdana Menteri kita memandang serius mengenai perkara ini khususnya apabila kerjasama strategik ini yang objektifnya ialah memaksimumkan hasil ke arah transformasi Kerajaan yang sentiasa kompetitif dan relevan.
 
14.        Menyahut seruan YAB Perdana Menteri, maka kempen Respek Wanita ini merupakan satu usaha Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara KPWKM dengan Polis Diraja Malaysia bagi memenuhi misi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah khususnya terhadap wanita. Melalui kerjasama ini juga, maklumat penting dapat dikongsi bersama. Sebagai contoh, NKRA Mengurangkan Jenayah mendapati jenayah jalanan seperti curi ragut, samun tanpa senjata dan samun berkawan tanpa senjata perlu diberi perhatian kerana ianya didapati mendatangkan trauma dan ketakutan berpanjangan.
 
Membanteras Jenayah Tanggungjawab Bersama
Hadirin yang dihormati sekalian,
 
15.      Izinkan saya berkongsi beberapa program dan inisiatif Kerajaan ke arah menghapuskan keganasan terhadap wanita. KPWKM telah melaksanakan inisiatif Talian Nur 15999 pada tahun 2007 dan talian khusus untuk kanak-kanak iaitu Childline 15999 pada tahun 2010 bagi membolehkan orang awam dan kanak-kanak membuat aduan mengenai kes-kes krisis yang berlaku dalam masyarakat seperti penderaan, keganasan, pembuangan bayi dan khidmat kaunseling.
 
16.      Selain itu, perkhidmatan Malaysia Control Centre (MCC) Polis DiRaja Malaysia iaitu 03-2031 9999 disediakan untuk aduan kes kecemasan, keganasan dan jenayah yang berlaku dalam masyarakat.
 
17.      Bagi membantu mangsa keganasan khususnya dari aspek mengurangkan trauma, 129 buah One Stop Crisis Centre (OSCC) telah ditubuhkandi hospital-hospital besar Kerajaan di seluruh negara bagi membolehkan mangsa keganasan mendapatkan rawatan yang komprehensif dan menyeluruh di satu lokasi berpusat. OSCC ini bercirikan kerjasama bersepadu dan diselaraskan secara multi-sectoral dan antara agensi iaitu Kementerian Kesihatan, KPWKM, Polis Diraja Malaysia dan Badan Bukan Kerajaan bagi pengurusan kes keganasan rumah tangga, rogol, penderaan seksual, penderaan kanak-kanak dan liwat.
 
18.      Selain itu,  bagi terus mewujudkan persekitaran yang selamat, pihak kerajaan telah memperluaskan skop rondaan melalui inisiatif omnipresence (meningkatkan kehadiran polis), Program Bandar Selamat, dan Kepolisan Masyarakat (community policing). Di samping itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) turut menjalankan rondaan di sekolah-sekolah termasuk 17 sekolah antarabangsa di Lembah Klang pada waktu-waktu puncak persekolahan.
 
19.      Inisiatif yang lain juga termasuk bekerjasama dengan pihak-pihak swasta untuk meningkatkan tahap keselamatan di premis-premis khususnya di tempat letak kereta dan di pusat membeli-belah. Program khusus seperti Jadual Liga Tempat Letak kereta juga dilaksanakan bagi menggalakkan dan memberi pengetahuan kepada pengendali tempat letak kereta untuk menaik taraf tahap keselamatan masing-masing.
 
 
 
Hadirin yang dihormati sekalian,
 
20.       KPWKM menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) juga telah melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan wanita  terus terbela.
 
21.      Saya suka nyatakan di sini bahawa, pada tahun 2012, sebanyak 21 program Kempen Keselamatan Wanita dengan kerjasama Sime Darby dan Redberrytelah dilaksanakan di seluruh negara. Program tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada wanita akan langkah-langkah yang perlu di ambil bagi memastikan keselamatan mereka sepanjang masa. Seramai 4578 orang telah terlibat sepanjang perlaksanaan program tersebut.
 
 
22.      Selain itu, Kempen Menangani Keganasan Terhadap Wanita turut dilaksanakan bersama Wanita Caucus Parlimen di KL Sentral manakala Kempen Walk The Talk, from Perlis to Sabah, Stop Violence Against Women telah dijalankan dengan kerjasama dengan NGO iaitu Soroptimist pada tahun lepas. Kempen ini telah mendapat sambutan yang menggalakan daripada orang ramai.
 
23.      Program-program advokasi juga dilaksanakan di peringkat masyarakat bersama dengan ahli-ahli Parlimen seperti Seminar Kepekaan Gender, Literasi Undang-Undang, Wanita Anti Jenayah (WAJA), Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita dan Gadis,  Selamatkan Diri Anda (SEDiA), Program Kesejahteraan Emosi dan Program Transformasi Minda.
 
24.      Program-program ini diadakan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai hak-hak wanita dari aspek perundangan sivil dan syariah, perlindungan, pembelaan serta teknik mengurus tekanan emosi dengan berkesan. Kira-kira 150,000 orang wanita telah mendapat manfaat sejak program ini mula diperkenalkan pada tahun 2002.
 
Puan-Puan dan Tuan-Tuan Sekalian,
 
Penutup
 
25.      Pelbagai program-program kesedaran terhadap menangani keganasan terhadap wanita telah dijalankan, walau bagaimana pun penyertaan daripada kaum lelaki dalam program yang dilaksanakan masih rendah. Program-program seperti saya sebutkan tadi sebenarnya bukan hanya menyasarkan kepada kaum wanita sahaja tetapi turut terbuka kepada golongan lelaki. Justeru, saya menyeru agar kaum Adam yang hadir pada hari ini mewar-warkan perkara ini dan turut berganding sama untuk mencegah dan menangani isu ini.
 
26.      Sayangi, hormati dan lindungilah kaum wanita. Saya berharap agar semua peseta yang terlibat pada hari ini  dapat memanfaatkan segala input yang diberikan kepada anda supaya dapat dihayati, diamalkan, seterusnya disebarluaskan kepada keluarga, rakan-rakan dan masyarakat di luar sana.
 
27.      Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada JPW dan PDRM di atas penganjuran bersama seminar ini, jutaan terima kasih kepada YDH DCP Dato’ Abdul Samah bin Haji Mat dari PDRM di atas kerjasama jitu yang diberikan bagi merealisasikan program ini. Tidak ketinggalan di kesempatan ini juga masih belum terlewat untuk saya ucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua wanita yang bergelar ibu di sini. Sesungguhnya jasa puan-puan amat besar kepada pembangunan keluarga dan juga pembangunan negara. Kepada suami sekalian, hargailah wanita sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak tercinta. Sayangi wanita, Respek Wanita! Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, terimalah serangkap pantun daripada saya:  
 
 
 
 
Bawa belayar si buah labu,
Jual di kota bersama termenung,
Tak mampu dibayar kasihmu ibu,
Walaupun harta setinggi gunung.
 
Dengan lafaz bismillahirahmanirahim, saya dengan ini merasmikan program SEMINAR WANITA ANTI JENAYAH bertemakan RESPEK WANITA bagi tahun 2013.
 

Jabatan Pembangunan Wanita
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
23 Mei 2013
CIAST, SHAH ALAM,
SELANGOR