Daftar Masuk

   ID Pengguna:image for important messageMakluman Penting
   

   Kata Laluan:
   

   
Daftar Masuk

   Pendaftaran Baru
   Lupa Kata Laluan


Pautan Aplikasi
Perkhidmatan Mywanita
Pautan ke Ibu Tunggal
Pautan ke Kepekaan Gender
Pautan ke Perkhidmatan Usahawan
Pautan ke NGO atau Pembekal Perkhidmatan
Pautan ke Kaunseling
Pautan ke Latihan Berasaskan Komputer



 
UCAPAN PERASMIAN SEMPENA SAMBUTAN HARI WANITA 2013

Dengar teks ini

 
UCAPAN PERASMIAN
YAB DATO’ SERI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN HARI WANITA 2013
DEWAN MERDEKA, PWTC
25 OGOS 2013
 
 
[SALUTASI]
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
 
Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya kita dapat berhimpun pada hari ini iaitu 25 Ogos 2013 bagi meraikan Hari Wanita 2013.
 
Tahniah saya ucapkan kepada YB Datuk Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan semua pihak yang menjayakan sambutan tahunan ini.
 
Setinggi-tinggi penghargaan saya untuk wanita yang hadir pada hari ini.Saya yakin puan-puan semua  terdiri daripada wanita yang  bangun awal pagi untuk menyediakan sarapan untuk keluarga, wanita yang bergegas pulang dari kerja setiap hari untuk menyediakan makan malam untuk keluarga, wanita yang sentiasa mengutamakan keselesaan untuk keluarga daripada diri sendiri, wanita yang bangun sehening pagi untuk bekerja bila orang lain masih tidur nyenyak, wanita yang menyara dan membesarkan ahli-ahli keluarga dan wanita yang mengorbankan masa dan tenaga untuk menyumbang kepada keluarga dan negara.
 
Syabas dan tahniah juga kepada semua kaum lelaki yang dapat hadir dan terus menyokong usaha memartabatkan wanita. 
 
SIGNIFIKAN SAMBUTAN HARI WANITA 2013DAN TEMA RESPEK WANITA, MASYARAKAT SEJAHTERA

Hari Wanita disambut setiap tahun semenjak 1962 sama ada di peringkat kebangsaan mahu pun di peringkat negeri. Hari ini didedikasikan khusus untuk wanita Malaysia sebagai tanda pengiktirafan kerajaan dan negara terhadap sumbangan, komitmen dan pencapaian wanita sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kemakmuran negara.

Saya melihat tema RESPEK WANITA: MASYARAKAT SEJAHTERA  sebagai sesuatu yang sangat relevan dalam konteks membentuk ahli-ahli masyarakat yang penyayang dan seterusnya masyarakat sejahtera. Tema ini mengingatkan kita bahawa menghargai dan menghormati wanita adalah nilai-nilai murni yang perlu kita semai dalam diri dan ahli keluarga selaras dengan Rukun Negara yang kita dukung dan tuntutan agama. Bagi yang beragama Islam misalnya tentu tahu akan firman Allah yang bermaksud: “Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan susah payah. Sedangkan tempoh kehamilan berserta tempoh menceraikan susunya adalah dalam tempoh 30 bulan.” (Surah al-Ahqaf 46: 15). Begitu juga antara isi khutbah terakhir Rasullullah s.a.w.yang bermaksud “Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.”
 
PENCAPAIAN WANITA MALAYSIA

Pencapaian wanita Malaysia amat memberangsang. Dalam bidang pendidikan, dari tahun 2009 hingga 2011, enrolmen wanita bagi ijazah pertama di Institusi Pengajian Tinggi Awam secara konsisten telah melebihi 62% setiap tahun dan bagi sesi akademik 2013/2014 68.02% daripada 41,573 calon yang akan mengikuti program ijazah pertama adalah wanita.  Dalam pasaran pekerjaan, kadar penyertaan wanita telah meningkat daripada 44.7% pada tahun 1995 kepada 49.5% pada tahun 2012. Dari segi struktur pekerjaan, peratusan wanita yang bekerja dalam kumpulan profesional juga telah meningkat iaitu  daripada 7.5% daripada keseluruhan wanita yang bekerja pada tahun 2005 kepada 14.8% pada tahun 2012.

Pencapaian ini adalah hasil daripada langkah kerajaan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi memartabatkan wanita di Malaysia termasuklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi  terhadap wanita.  
 
PERUNDANGAN
 
Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW)

Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita atau Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW) telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa­-Bangsa Bersatu (PBB) pada 18 Disember 1979 dan berkuat kuasa mulai 3 September 1981. Konvensyen ini memberi penekanan kepada usaha menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita, termasuk dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan budaya. Malaysia telah meratifikasi CEDAW pada 5 Julai 1995.
 
Pindaan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia

Selaras dengan komitmen Malaysia sebagai negara pihak kepada CEDAW, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk terus memastikan penghapusan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita. Pada tahun 2001, Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah dipinda untuk melarang pembezaan terhadap warganegara semata-mata oleh sebab jantina.

Susulan daripada pindaan tersebut, sebahagian undang-undang dikaji semula bagi memastikan kesaksamaan gender, dan undang-undang baru pula digubal dengan berpandukan prinsip tiada diskriminasi gender.Untuk proses ini, kerajaan memberi ruang kepada pembentukan pendapat awam agar rangka perundangan dapat memberi impak positif kepada wanita dan masyarakat amnya. Jentera kerajaan juga sentiasa berusaha memahami persoalan yang berhubung kait langsung dengan kehidupan realiti wanita termasuklah isu keganasan terhadap wanita.  Ban Ki-Moon, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pernah menyatakan bahawa keganasan terhadap wanita merupakan pencabulan hak asasi manusia yang menjadi penghalang kepada kesaksamaan gender.
 
Pindaan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994

Hasil daripada inisiatif kerajaan, pada 21 Disember 2011 pindaan kepada Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 telah diluluskan di Parlimen dan dikuatkuasakan pada 20 Februari 2012. Antara pindaan utama Akta ini ialah memperluaskan takrifan keganasan rumah tangga daripada bentuk fizikal untuk turut meliputi penderaan emosi, mental dan psikologi, penggunaan bahan yang memabukkan dan bahan yang menyebabkan delusi kepada mangsa dan mangsa kanak-kanak.
Pindaan Akta Kerja 1955 Bagi Menangani Isu Gangguan Seksual di Tempat Kerja

Akta Kerja 1955 [Akta 265] pula telah dipinda pada 1 April 2012 bagi menangani isu gangguan seksual di tempat kerja.Pindaan antaranya memperuntukkan arahan untuk mengemukakan laporan berkenaan kes-kes gangguan seksual kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja dan memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja untuk mengarahkan majikan menubuhkan mekanisme dalaman di tempat kerja bagi menangani gangguan seksual.
 
Seksyen di Bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) Bagi Menangani Gangguan Seksual

Selain itu, terdapat seksyen di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh diguna pakai bagi menangani gangguan seksual iaitu seperti Seksyen 354 yang berkaitan dengan kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan; dan Seksyen 509 yang berkaitan dengan kesalahan yang bermaksud untuk mengaibkan kehormatan seseorang, sama ada dengan perkataan atau isyarat.
 
Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 

Kerajaan juga amat prihatin terhadap wanita yang menjadi mangsa pemerdagangan orang dan penyeludupan migran. Oleh kerana pemerdagangan orang merupakan isu global, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2000, telah menerima pakai Konvensyen Membanteras Jenayah Rentas Sempadan (Convention against Transnational Organised Crime) yang juga dikenali sebagai Konvensyen Palermo sebagai sebahagian daripada usaha antarabangsa untuk memerangi masalah ini. Terdapat 2 protokol di bawah konvensyen tersebut:

Protokol untuk Mencegah, Menyekat dan Menghukum Pemerdagangan Orang, terutamanya Wanita dan Kanak-kanak(Protocol to Prevent, Suppress and Punish Trafficking in Persons especially Women and Children); dan

Protokol terhadap Penyeludupan Migran di Tanah, Laut dan Udara(Protocol against the Smuggling of Migrants by Land, Sea and Air).

Protokol-protokol ini telah menjadi asas pembentukan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 yang telah berkuat kuasa sejak 2008.Seterusnya pada bulan Februari 2009, Malaysia telah menyokong Protocol di bawah konvensyen tersebut.
 
KEGANASAN TERHADAP WANITA MERUPAKAN ISU GLOBAL

Kita perlu sedar, isu berkaitan keganasan terhadap wanita merupakan isu global yang perlu ditangani secara efektif.

Baru-baru ini kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertajuk  Global and regional estimates of violence against women: Prevalence and health effects of intimate partner violence and non-partner sexual violence”  melaporkan 35 peratus daripada semua wanita akan mengalami keganasan. Kajian tersebut menyatakan “violence against women is not a small problem that only occurs in some pockets of society, but rather is a global public health problem of epidemic proportions, requiring urgent action.”

Berdasarkan kepada Handbook for National Action Plans on Violence Against WomenterbitanUN Women pada tahun 2012,  kebanyakan  keganasan terhadap wanita dilakukan oleh orang yang dikenali wanita tersebut dan kebanyakan kes disenyapkan sebagai masalah dalaman keluarga atau masalah peribadi. Keganasan terhadap wanita yang paling kerap adalah keganasan yang dilakukan oleh pasangan wanita yang merangkumi suami, bekas suami atau teman lelaki. UN Women telah menggariskan langkah-langkah yang dapat membantu usaha menangani keganasan terhadap wanita. Antaranya adalah penyediaan ruang dan peluang yang saksama kepada wanita dalam aspek ekonomi, sosial dan politik, pelaksanaan program kesedaran kepada pelbagai peringkat golongan terutamanya vulnerable groupdan pelaksanaan program kesedaran bagi pihak media agar sentiasa menonjolkan imej positif wanita . 

Di Malaysia, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia bagi tempoh 2000 hingga 2012, sebanyak 42,449 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan yang mana 7,644 orang (18%) mangsa adalah  lelaki manakala 34,805 orang (82%) mangsa adalah wanita. Bagi tempoh yang sama, purata kes keganasan rumah tangga  yang mangsanya adalah wanita adalah sebanyak 3,103 kes setahun. Sementara itu, dari bulan Januari hingga April 2013, sebanyak 998 kes keganasan rumah tangga terhadap wanita telah pun dilaporkan.
 
Keganasan Terhadap Wanita Membawa Kemunduran dan Kemudaratan Kepada Keluarga Dan Masyarakat

Kerajaan khuatir penghakisan nilai-nilai murni dan penghormatan kepada wanita  serta keganasan terhadap wanita akan menjejaskan persekitaran sosial keluarga dan masyarakat. Keganasan terhadap wanita dalam keluarga misalnya akan mewujudkan kecelaruan apabila keluarga tidak dapat berfungsi sewajarnya. Masalah ini  mencetuskan vicious cycleyang membawa kemunduran dan kemudaratan dari hari ke hari dalam keluarga dan masyarakat.
 
MEKANISME
 
Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2009
 
  1. Dalam menangani keganasan terhadap wanita, Malaysia telah pun mengadaptasi standard dan amalan terbaik antarabangsa. Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2009, telah memperincikan strategi yang perlu diambil  bagi menangani keganasan terhadap wanita. Strategi-strategi yang digariskan termasuklah:
  2. meningkatkan pengetahuan wanita bagi mencegah keganasan terhadap wanita;
  3. memantapkan dan memperluaskan perkhidmatan sokongan sosial; dan
  4. memastikan mangsa keganasan berasaskan gender menjalani proses pemulihan.
 
Talian Nur

Pelaksanaan strategi-strategi yang digariskan  di bawah Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2009 telah membawa kepada pewujudan mekanisme tertentu seperti Talian Nur 15999. Perkhidmatan Talian Nur 15999 telah disediakan oleh  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  sejak 5 Disember 2007 bagi memudahkan orang awam termasuk mangsa membuat aduan atau pun mendapat khidmat nasihat  termasuklah mengenai penderaan, pengabaian dan keganasan. Talian ini beroperasi 24 jam sehari dan 365 hari setahun.
 
 
 
One Stop Crisis Centre-OSCC

Atas keprihatinan kerajaan terhadap mangsa keganasan dan untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pelaku keganasan, kerajaan  telah menubuhkan pusat khidmat bersepadu  (One Stop Crisis Centre-OSCC) di semua jabatan kecemasan hospital kerajaan bagi memberi perkhidmatan pemeriksaaan, rawatan dan pengesahan kes-kes keganasan rumah tangga serta menguruskan laporan polis. OSCC ini bercirikan kerjasama bersepadu dan diselaraskan secara multi-sectoral dan antara agensi iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia dan pertubuhan bukan Kerajaan bagi pengurusan kes keganasan rumah tangga, rogol, penderaan seksual, dan penderaan kanak-kanak. Kini, terdapat sebanyak 129 buah OSCC di seluruh Malaysia.
 
Meluaskan Konsep OSCC

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru pendekatan OSCC yang diguna pakai di hospital kerajaan diperluaskan ke hospital-hospital swasta. Langkah ini penting supaya persekitaran yang bersesuaian dan sensitif dapat diwujudkan dalam menguruskan mangsa keganasan di hospital swasta. Selain itu, tindakan ini bukan sahaja memastikan mangsa keganasan diberi keutamaan dalam rawatan ke atas kecederaan fizikal, malah mereka diberi perkhidmatan lain seperti perlindungan dan kaunseling.

 
Kaunselor, Tempat Selamat dan Rumah Perlindungan

Kerajaan menerusi agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga menyediakan khidmat kaunseling keluarga yang boleh dimanfaatkan untuk membanteras keganasan terhadap wanita. Sebagai contoh, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara mempunyai 15 buah Pusat Keluarga di seluruh negara dan perkhidmatan ini dikendalikan oleh 17 orang kaunselor tetap dan 62 orang kaunselor panel. Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat mempunyai seramai 191 orang kaunselor di seluruh negara, manakala Jabatan Pembangunan Wanita mempunyai 2 orang kaunselor di ibu pejabatnya.

Sebagai langkah perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga,  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  juga telah menyediakan sebanyak 41 buah tempat selamat yang iaitu 32 buah dikendalikan oleh JKM, sebuah dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Wanita dan 8 buah dikendalikan pertubuhan bukan Kerajaan di seluruh negara.

Bagi wanita mangsa pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat   menyediakan 3 rumah perlindungan yang turut mengadakan khidmat kaunseling dan perkhidmatan lain termasuklah yang berkaitan pemulihan mangsa, penghantaran mangsa pulang ke negara asal dan usaha mengintegrasikan semula mangsa ke dalam masyarakat.
 
National Blue Ocean Strategy(NBOS) 1Malaysia Komuniti PERWANI

Satu inisiatif  kerajaan yang telah dilancarkan di bawah National Blue Ocean Strategy(NBOS) yang berupaya membanteras keganasan terhadap wanita ialah 1Malaysia Komuniti PERWANI. Inisiatif ini bertujuan untuk mewujudkan 100,000 kumpulan 1Malaysia Komuniti PERWANI di seluruh Malaysia dengan setiap kumpulan, yang terdiri antara 10 hingga 20 orang ahli, bertindak sebagai agen transformasi komuniti. Perkumpulan wanita ini berperanan untuk menggalakkan pelaksanaan program untuk melahirkan sebuah masyarakat yang sejahtera dan harmoni.

Sukacita saya maklumkan bahawa hingga bulan Julai 2013, sebanyak 706 perkumpulan PERWANI telah pun ditubuhkan di bawah program ini yang melibatkan hampir 13,934 orang wanita di seluruh negara. Kementerian menyasarkan sebanyak 5,000 perkumpulan PERWANI akan diwujudkan menjelang akhir tahun ini.

Terbaru, NBOS memperkenalkan kempen menyeluruh ‘Women Empowered for You’(WE4U) untuk memperkasa wanita dalam menyumbang kepada ekonomi secara aktif serta menerajui transformasi komuniti dan masyarakat.
 
Gerabak Khas Untuk Penumpang Wanita KTM Komuter

Kerajaan sentiasa menggalakkan pihak swasta untuk turut sama membanteras keganasan terhadap wanita. Gerabak khas untuk penumpang wanita KTM Komuter yang disediakan oleh KTM Berhad dapat meningkatkan tahap keselamatan wanita yang berulang-alik menaiki kereta api untuk bekerja atau belajar.
Tempat Letak Kereta

Agensi kerajaan turut bekerjasama dengan pihak swasta untuk meningkatkan tahap keselamatan di premis-premis awam khususnya di tempat letak kereta dan di pusat membeli-belah. Program khusus seperti Audit Tempat Letak Kereta telah dilaksanakan bagi menggalakkan dan memberi pengetahuan kepada pengendali tempat letak kereta untuk menaik taraf tahap keselamatan masing-masing.
 
Kursus dan Program Advokasi

Saya difahamkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah melaksanakan berbagai-bagai kursus dan program advokasi menangani keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan. Aktiviti-aktiviti yang turut dilaksanakan di peringkat  Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta dan sekolah-sekolah termasuklah Seminar Kepekaan Gender, Seminar Wanita Anti Jenayah (WAJA), Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita dan Gadis,  Seminar Selamatkan Diri Anda (SEDiA), Seminar  Perisai Buat Wanita, Program Kesejahteraan Emosi dan Program Transformasi Minda. Program-program ini  telah berjaya memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai hak-hak wanita dari aspek perundangan sivil dan syariah, perlindungan dan pembelaan wanita serta pengurusan tekanan emosi dengan berkesan. Kursus Pra Perkahwinan SMARTSTART LPPKN; Program Keluarga@Kerja (Parenting@Work); dan Kursus Ilmu Keluarga@LPPKN mampu membanteras keganasan terhadap wanita dalam keluarga.

Kerajaan percaya langkah preventif merupakan langkah yang paling penting dalam menangani isu keganasan terhadap wanita. Saya yakin mesej di sebalik RESPEK WANITA, MASYARAKAT SEJAHTERA dan tagline“Respek Wanita” mampu menyumbang kepada langkah-langkah preventif ini. Mesej ini perlu sentiasa terus dihidupkan menerusi kursus-kursus dan program advokasi agar tidak menjadi dogma kaku.
 
 
PENUTUP

Khusus bagi tahun ini, saya terharu dan bangga melihat begitu ramai wanita daripada pasukan beruniform turut sama dalam sambutan kali ini. Saya ingin kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih ke atas sumbangan wanita yang menganggotai pasukan badan beruniform yang dapat berganding bahu di barisan hadapan. Berdisiplin, segak dan bergaya merupakan ciri-ciri dan perwatakan wanita yang terlibat dalam pasukan beruniform seperti polis, tentera, bomba, kastam, jururawat dan sebagainya yang perlu mendapat pengiktirafan dan respek lebih-lebih lagi pada hari-hari yang semakin hampir dengan Hari Merdeka ini.
 
Akhir sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini menyeru sekalian rakyat Malaysia supaya bersama-sama meniup semboyan perjuangan untuk terus menjadikan usaha memartabatkan wanita sebagai satu legasi daripada satu generasi ke generasi akan datang agar kejayaan dan kesejahteraan negara berpanjangan. Respek Wanita, Masyarakat Sejahtera!
 
Dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2013.
 
Sekian. Wabillahhitaufik, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.